Latarbelakang Projek

MUKADDIMAH

Cadangan untuk membina masjid ini telah dibangkitkan pada awal 2002 atas dua sebab utama.

  1. Untuk kegunaan penduduk-penduduk Islam yang tinggal di di Bukit Rahman Putra dan kawasan-kawasan  sekitar.
  2. Keperluan untuk mengadakan sekolah KAFA untuk anak-anak penduduk sekitar yang pada masa ini sekolah ini diadakan dengan menyewa rumah kedai di Dataran Villa Putra. 

TAPAK MASJID

Tapak masjid ini adalah sebidang tanah seluas 3 ekar yang telah di sediakan oleh pemaju Bukit Rahman Putra sejak tahun 90an. Ia terletak lebihkurang 1.5km dari simpang Jalan Kuala Lumpur-Kuala Selangor.



Tanah ini berada  di kawasan BRP 6 bersempadankan Persiaran Bukit Rahman Putra, iaitu jalan masuk utama ke kawasan perumahan ini di sebelah barat; dan Jalan BRP 6/1 di sebelah utara.



Tapak masjid ini berada di bawah kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Ia adalah sebuah kawasan lapang yang rata dan kini sebahagiannya telah dibersih dan diratakan. Lihat gambar-gambar tapak di sini.

STATUS TANAH

Tanah untuk pembangunan ini telah diwartakan  oleh Menteri Besar Selangor sebagai tapak masjid melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor Perkara Nombor 1350 bertarikh 12 Ogos 2004.

Warta Kerajaan Negeri Selangor

LATARBELAKANG PEMBANGUNAN BUKIT RAHMAN PUTRA

Bukit Rahman Putra adalah suatu kawasan perumahan yang dimajukan sejak awal tahun 90-an oleh Hong Leong Properties Sdn Bhd, Sunway dan Cosmovest Properties. Ia terletak di sekitar Lapangan Golf Rahman Putra. Ia terdiri dari berbagai jenis rumah teres, rumah berkembar, banglo dan apartment.

Sehingga kini sebahagian besar daripada unit-unit kediaman di dalam pelan pembangunan tersebut telahpun didirikan. Antaranya ialah rumah-rumah teres di BRP 1, 4, 6 dan 7, rumah-rumah berkembar di BRP 2, 3 dan 5, banglo-banglo di BRP 6 serta sebuah apartment mewah di BRP 2.

Di samping itu rumah-rumah kedai juga telahpun beroperasi di BRP 1, 6 dan 7. Sebuah sekolah rendah dan sekolah menengah telahpun di buka sejak tahun 2000.

Apabila ia sempurna dimajukan kelak, Bukit Rahman Putra juga akan dilengkapi dengan bangunan-bangunan kemudahan awam seperti balai polis, balai bomba, pasar, stesen bas/ teksi dan sebagainya.

Tiga buah surau juga telah dibina di Bukit Rahman Putra di kawasan iaitu Surau Manba’ul Huda di BRP 1, Surau At-Tajdid di BRP 4 dan Surau Ar-Rahman di BRP 7. 

Setakat ini di anggarkan kira-kira 2,000 orang penduduk Islam bermustautin di Bukit Rahman Putra.

Namun begitu, bilangan orang-orang Islam di sekeliling kawasan Bukit Rahman Putra adalah berlipat kali ganda lebih ramai memandangkan ke semuanya adalah terdiri dari kawasan yang majoriti penduduknya adalah orang-orang Islam.

KARIAH MASJID

Masjid yang dicadangkan ini bukan sahaja untuk menampung masyarakat Islam di Bukit Rahman Putra, tetapi juga dari Kampung Matang Pagar, kawasan-kawasan perumahan Saujana Akasia, Impian Indah, Bandar Baru Sg Buloh, Kampung Melayu Sungai Buloh dan Kuang yang mempunyai bilangan penduduk Islam yang ramai. Ia juga akan memberikan kemudahan kepada pekerja-pekerja di kawasan perindustrian Sungai Buloh Jaya.

Pelajar-pelajar dari Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah Bukit Rahman Putra juga akan  lebih mudah  menunaikan fardhu Jumaat dengan terbinanya masjid yang hanya kira-kira 300m dari sekolah.

Gambar di bawah menunjukkan kedudukan masjid-masjid sediada di sekitar Bukit Rahman Putra dan anggaran kapasiti jemaah setiap masjid.





  1. Masjid Bukit Rahman Putra (cadangan)          - Kapasiti 2200 Jemaah
  2. Masjid Kg Gombak                                       - Kapasiti 1000 Jemaah
  3. Masjid As-Islahiah Km 28 Jln Kuang              - Kapasiti 1500 Jemaah
  4. Masjid Jamek Batu 16 Sg Plong                    - Kapasiti 1000 Jemaah
  5. Masjid Al-Huda Paya Jaras                          - Kapasiti 1200 Jemaah
  6. Masjid Bandar Baru Sg Buloh                       - Kapasiti 4000 Jemaah
  7. Masjid Jamek Pekan Sg Buloh                      - Kapasiti 1000 Jemaah
  8. Surau Darul Ulum Matang Pagar                  - Kapasiti  800 Jemaah